Ramadhan : Batalkah 
Puasa Kita Jika...
Oleh : affannur

Ulama  terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan  meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu  meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk  mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan  yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan  disepakati ulama sahaja.  
  Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam,  antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain  menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai.  Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang  menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan  meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang  tidak memerlukan perhatian begitu mendalam. 
  Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini  semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam)  menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang  membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia  menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering  berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini.  Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan  perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh  As-Siyam, hlm 86-87) 
 Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :- 
 1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat  jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha  meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan  kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini  perlu diberikan perhatian lebih. 
 2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran :  Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan  ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di  antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat  Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk  berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu  diperhebat. 
 3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' :  Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala  puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat  dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah  perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun  ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya. 
 4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed':  Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di  bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai  yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan  nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan. 
  Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada  hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati  tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga  serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan  niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran  dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong,  mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia  disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith  yang banyak. 
 Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa. 
  Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia  mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai  panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan  puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :- 
 1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. 
 Hukumnya  : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh  melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari  tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).  Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith  riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam  An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang  menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat  Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji  Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam.  (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority  mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247) 
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala. 
  Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur  ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari  ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur. 
 Hukumnya  : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di  dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah  masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau  lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan  nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau  membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak  batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh  Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung  yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan  puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa  yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik  menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi  yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik. 
3) Pil elak haid untuk puasa penuh : 
 Hukumnya  : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya,  dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik  adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang  telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga  masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.  
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah : 
 Hukumnya  : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh  Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap  dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan   apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak. 
  Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan  itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas  kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan  melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim  gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.  Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang  Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik  balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam  persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama  kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.  
  Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas  dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti  Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana  gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala,  ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia  akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226) 
  Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam  hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut  boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. 
Pandangan  terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan  data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim  ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa  adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti  nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru,  jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah  makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka  serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak.  Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di  dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal  di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu.  Wallahu'alam.
 5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:  
 Hukumnya : Terdapat dua jenis :  samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk  mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas  perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ;  ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan  sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan. 
 Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa  kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia  tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia  adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh  Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar  tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268  ; Yasalunaka, 5/53 dll ). 
  Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama  jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan  lapar dahaga puasa. 
 6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.  
 Hukumnya : Tidak  membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie  mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa  adalah lebih baik. 
 Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan  wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut  air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no  142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn  Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
 7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat   
 Hukumnya :  Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa  maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah  mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.  Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi  melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat.  (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan  dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat  Ibn Hibban)
 8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa  
 Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama. 
 Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :- 
 كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ 
 Ertinya  : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia  berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan  nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih) 
 Dan satu lagi adalah : - 
  فجاء  شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا  صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى  بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة  وحديثه حسن وفيه كلام 
 Ertinya  : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan  bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ;  tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi :  Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama  lain, maka nabi berkata :-  
 "aku  tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain,  sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad  dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya,  menyebabkan hadis dianggap dhoif)  
  Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang  turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 ) 
 Kesimpulannya,  ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia  boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada  persetubuhan di siang hari Ramadhan.
 9) Wanita tamat haid  
  Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya  sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika  ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan  minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia  tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa  wajib boleh dibuat selepas terbit fajar. 
 Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201) 
 Dalilnya adalah :- 
 من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له 
 Ertinya  : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada  puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )  
 10) Keluar air mazi  
  Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan  kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi  semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.? 
 Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa. 
  Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi  dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
 11) Keluar air mani tanpa setubuh  
  Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan  syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati  oleh seluruh ulama. 
  Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat  dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk  mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) 
 Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal. 
  Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang  mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan  maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya  keluar mani kerana sentuhan. 
  Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana  sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
 12) Menelan air liur dan kahak 
 Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).  Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan.  Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah  sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa  atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang  mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya  dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi,  kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram  ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala  yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak  membatalkan puasa. 
    
 13 ) Mandi
  Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa.  Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang  junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib,  bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak  membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah  disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya  merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat  bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal  apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
 14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu. 
  Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie,  Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali  berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal. 
  Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak  terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang  mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti  solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni,  4/175) 
15) Mengosok gigi ketika berpuasa
Sekian, 
 selamat berpuasa by affannur


 
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar